Sumber : Berita Harian - Selasa, 8 Oktober 2019
SHAH ALAM: Sebanyak 315,976 akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) telah dibuka dan simpanan berjumlah RM530.48 juta diterima pada tahun ini (sehingga 31 Ogos lalu).
Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar & Operasi) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd Khalid, berkata peningkatan jumlah simpanan dan bilangan akaun SSPN dari tahun ke tahun jelas menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia sedar mengenai kepentingan membuat perancangan kewangan.
Katanya, tujuannya adalah untuk memastikan anak dapat melanjutkan pengajian tanpa perlu membuat pinjaman demi masa depan dan keselesaan pembelajaran mereka.
“Budaya menyimpan dari awal ini perlu dilakukan kerana jika dihitung sehingga usia anak mencecah 18 tahun, dengan simpanan sebanyak RM50 sebulan, sekurang-kurangnya mereka mempunyai akaun berjumlah RM15,000 dan boleh membantu dalam pendidikan mereka di institusi pendidikan Tinggi (IPT).
“Selain itu PTPTN juga bukan sekadar menggalakkan simpanan dalam SSPN, tetapi turut memberi banyak manfaat antaranya dividen yang kompetitif, Cabutan Hadiah SSPN, pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 dan juga Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000 bagi mereka berpendapatan RM4,000 dan ke bawah.
“Sebenarnya banyak lagi keistimewaan ditawarkan, jadi ini adalah peluang keemasan untuk orang ramai mengambil peluang ini demi kebaikan anak-anak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Minggu Menabung SSPN 2019, dekat sini.
Pada majlis itu, pelbagai acara turut diadakan dalam usaha menarik perhatian orang ramai antaranya SSPN Got Talent dan pertandingan pakaian beragam.
Mengenai program berkenaan, Mastura berkata, selama tiga hari Minggu Menabung SSPN 2019 ini diadakan di seluruh negara, setakat jam 1 tengah hari, sebanyak 3,175 akaun baharu dibuka manakala jumlah deposit diterima RM5.4 juta.
Terdapat lokasi promosi yang masih membuka kaunter sehingga petang dan malam.
“Untuk program ini, kita menyasarkan sebanyak 1,190 akaun baharu dengan kutipan RM1.9 juta, Alhamdulillah kali ini sambutan sangat memberangsangkan.
“Justeru, menerusi program turun padang berbentuk seperti inilah dapat membantu kita mencapai sasaran sehingga penghujung tahun ini iaitu sebanyak RM1 bilion dengan 500,000 akaun baharu dibuka.
“Ini secara tidak langsung, memberi petanda baik kepada negara bahawa masyarakat sudah memahami dan mula sedar untuk menabung demi perancangan kewangan pendidikan anak-anak. Kita mahu kurangkan kebergantungan pinjaman ke universiti untuk anak.
“Pada masa sama, budayakan amalan 10 peratus simpanan daripada wang gaji anda, bukannya apabila mempunyai wang, berbelanja dahulu,” katanya.
Pada tahun lalu, sebanyak RM1.13 bilion kutipan SSPN berjaya dilakukan.
Sementara itu, pengunjung, Zaidah Daud, 49, berkata simpanan SSPN ini bagus dan memberi banyak manfaat kepada beliau dan anaknya. Katanya, dua daripada tiga anaknya memiliki simpanan SSPN yang dibuka sejak lima tahun lalu demi masa depan pendidikan anaknya.
“Seorang anak saya sudah menjejakkan kaki ke universiti dan seorang lagi masih di sekolah rendah.
“Saya berharap semua orang terutamanya kaum Melayu sedar akan kebaikan SSPN ini dan mula menabung untuk anak masing-masing.
“PTPTN juga perlu adakan banyak program turun padang sekerap mungkin untuk membantu menyebarkan lebih banyak manfaat kepada setiap orang,” katanya.
👉 Untuk Pendaftaran Secara Online KLIK DI SINI
TERIMA KASIH.
No comments:
Post a Comment